Membina hubungan ulama dan umara

Khutbah Jumaat: “ Membina Hubungan Ulama’ Dan Umara’ ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. mimbar akan membincangkan judul khutbah: 

“MEMBINA HUBUNGAN ULAMA’ DAN UMARA’. ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Jika diingat kembali, sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan kesalingan antara ulama’ dan umara menjadi erat dan kental, maka sesebuah pemerintah itu pasti bertambah kuat, nasib ummah akan terbela, negara akan bertambah maju dan aman damai.

Persoalan besar timbul di sini siapakah ulama’ dan umara yang sebenarnya dan apakah bidang tugas mereka?

Ini sangatlah penting kerana di saat ini, masih ramai masyarakat yang keliru dengan istilah dan juga peranan ulama’ dan umara’ kerana sesiapa sahaja boleh mengakui dirinya sebagai ulama’. Secara ringkasnya, ulama’ ialah mereka yang arif tentang hukum hakam Allah SWT berbanding dengan orang lain, manakala umara pula ialah mereka yang mempunyai mandat dan kuasa untuk membuat orang lain mematuhinya.

Pengiktirafan yang begitu tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama’ dan selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA:

Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.

Alhamdulillah, 

Mimbar ingin menyatakan bahawa tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata dan tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurnanya.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:“Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.”

Bayangkan, apakah kesannya pada agama Islam dan masyarakat jika wujudnya golongan ulama’ yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama dan ummah. Percayalah bahawa di saat ini, masyarakat dan pemerintah sangat memerlukan ulama’ yang sentiasa teguh pendirian berpaksikan al-Quran dan hadith dan meletakkan tanggungjawabnya pada agama dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi dan politik.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Percayalah, berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut ternyata hubungan antara ulama’ dan umara’ merupakan tunjang kepada kekuatan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu.

Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan  umara’. ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimana  kaedah untuk membina hubungan ulama’ dan umara’?

Mimbar ingin menegaskan bahawa memperkasakan kaedah nasihat dan saling hormat menghormati merupakan sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan antara ulama’ dan umara’. Setiap ulama’ mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu.

Begitu juga dengan umara’, mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama yang baik dengan mana-mana pihak. Inilah masanya, golongan umara’ dan ulama’ mesti bersatu hati atas dasar kepentingan Islam dan saling hormat menghormati antara satu sama lain demi untuk masa depan agama dan bangsa walaupun berbeza pandangan ataupun fahaman.

Seorang ulama terkenal Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk para pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu dibawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah. Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakan peranan ulama’ di tempat yang sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama, dalam sistem pemerintahan negara.

Iman al-Turtusyi di dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: “Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah. Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.” (Riwayat Muslim).

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan bahawa sebagai seorang ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah.

Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. Kepada para ulama’ mereka perlulah membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka.

Para ulama’ juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri di dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah bahawa hubungan ulama’ dan umara’ ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah.

Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ 

Maksudnya: “Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sama-sama mengembeleng tenaga menyepadukan peranan ulama’ agar negara dan ummah terus dirahmati. Percayalah bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan ulama’ yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam.

Kepada golongan ulama’ mimbar ingin menyatakan mereka perlulah berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit dan mampu memberi penyelesaian terhadap permasalahan ummah hari ini. Yakinlah, penglibatan ulama’ pasti mampu untuk menyelamatkan umat Islam negara dari terus berpecah belah yang akhirnya akan merugikan umat Islam itu sendiri. Mimbar amat yakin dengan  langkah pemerintah menjemput ulama’ dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam.

 

Komentar

Postingan populer dari blog ini

3 Cara Ampuh Untuk Mengatasi Error Windows Stop Code di Windows 7, 8, dan 10

FORMAT ADMINISTRASI TPQ LENGKAP DAN CONTOH BUKU

Kitab Safinah (Safinatun An-Najah) Lengkap Arab dan Terjemah